Datuk Yasmin Mahmood dilantik sebagai Pengerusi Pos Malaysia
Datuk Yasmin Mahmood dilantik sebagai Pengerusi Pos Malaysia

KUALA LUMPUR- Pos Malaysia Bhd. melantik Datuk Yasmin Mahmood sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas bagi menggantikan Datuk Mohammad Zainal Shaari yang akan meninggalkan syarikat itu berkuatkuasa 1 April ini.

Menurut syarikat tersebut, Zainal meletakkan jawatan daripada Pos Malaysia bagi memberi fokus kepada usaha merasionalisasikan Kumpulan DRB-Hicom.

“Semasa tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi, Zainal telah memberi tunjuk ajar dan sokongan yang kuat kepada pihak pengurusan dan memberi sumbangan yang sangat besar kepada visi dan misi Pos Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Yasmin yang akan mula bertugas pada 1 April ini telah mempunyai pengalaman luas selama tiga dekad di dalam sektor awam dan swasta.

Beliau pernah berkhidmat dengan pelbagai gergasi teknologi bermula sebagai pengurus besar di Hawlet Packett Malaysia (1995-1999), memegang dua jawatan sebagai pengurus besar dan pengarah korporat serantau Dell Malaysia (1999-2006) sebelum dilantik sebagai pengarah urusan Microsoft Malaysia (2006-2009).

Pada September 2014, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corp. Sdn. Bhd (MDEC).

Pos Malaysia turut mengumumkan persaraan Tan Sri Zamzamzairani sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berkuatkuasa 1 April.

Katanya, perletakan jawatan tersebut disebabkan komitmen tinggi yang perlu ditunaikan oleh Zamzamzairani sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat lain.- MalaysiaGazette