Calon Bebas, Mohd Nor Yassin selepas menghantar borang pencalonan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2019.

KOTA BHARU – Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau, Mohd Nor Yassin akan dipecat keahliannya dalam Parti Amanah Negara.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir menegaskan perkara itu akan dicadangkan Jawatankuasa Pengurusan Amanah kerana bertanding tanpa menerima watikah perlantikan calon daripada parti.

“Saya mengambil maklum laporan berkaitan seorang calon bebas bagi PRK Rantau iaitu Mohd Nor Yassin yang menimbulkan kekeliruan mengenai status keahlian parti politiknya.

“Berdasarkan semakan keahlian, diakui beliau merupakan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang masih baru menyertai parti ini,” kata beliau dalam satu kenyataan petang tadi.

Sementara menanti keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti, semua ahli dan penyokong parti pimpinan Mohamad Sabu itu diarahkan  hanya membantu kempen calon daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Dr S. Streram, menurut Anuar yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Dalam pada itu, Mohd Nor sewaktu dihubungi petang tadi berkata, beliau masih ahli Pas dan tidak mengesahkan beliau pernah menyertai Amanah, demikian memetik laporan Malaysiakini. -MalaysiaGazette