Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik bercakap kepada media selepas Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik enggan mengulas  keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.

Malah sebelum sempat para pengamal media melontarkan soalan berhubung kenyataan tersebut, Maszlee hanya mengelengkan kepala, isyarat tidak mahu memberikan komen tentang apa-apa berkaitan UEC.

Malam tadi, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin menerusi  akaun Facebook rasminya mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam Negara, Tommy Thomas yang merupakan Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia.

“Lembaga Kelayakan Profession Undang-undang Malaysia telah bersetuju UEC adalah setaraf dengan STPM dan A-Levels, dan perkara ini membolehkan pelajar persendirian Cina membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

“Terima kasih Peguam Negara,” katanya di sini.

Semalam, Tommy dalam kenyataan memaklumkan CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ untuk bermula 1 Januari 2021.

Jelas Tommy, perubahan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pelbagai cadangan daripada ramai orang dan pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK) mengenai penerimaan UEC sebagai syarat kelayakan untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

Walaupun disoal dua kali oleh wartawan, Maszlee hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu disoal atau menjawab sebarang pertanyaan tentang pengiktirafan tersebut.

Dewan Rakyat

Dua minggu lepas ketika persidangan Dewan Rakyat, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengakui pihaknya belum membuat keputusan sama ada untuk mengiktiraf UEC sekolah persendirian Cina atau tidak.

Kata beliau, perkara itu masih lagi dalam peringkat libat urus serta proses mendapatkan pendapat daripada pelbagai pihak.

“Seperti mana yang kita maklum, kami (kementerian) telah menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dasar UEC, dan hari ini akan diadakan sidang media di pejabat KPM untuk memperkenalkan ahli jawatankuasa serta membentangkan sebahagian daripada aktiviti yang dilaksanakan.

“Oleh itu, belum ada keputusan yang dibuat dan sebarang keputusan akan diputuskan di Kabinet,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

Pengiktirafan UEC bagi peperiksaan CLP

2 Komen

  1. Belumpun Menteri Pendidikan selesai berfikir dah ada ‘ orang lain ‘ lebih cepat dan bijak mendahului tugasnya…..Maka terpaksalah akur jer….

  2. Tidak iktiraf bahasa kebangsaan, enggan bertutur bahasa kebangsaan . Perkara ni meati di hentikan.

Comments are closed.