PRK RANTAU – Komponen Barisan Nasional (BN), MCA mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat segera tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng yang memberi sumbangan peribadi berbentuk kupon program makanan percuma bernilai RM75,000 kepada lima buah sekolah di Rantau.
Ketua Pemuda MCA Rembau, Yong Chien Huang berkata, desakan itu dibuat kerana peruntukan itu nyata bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.
“Biro Undang-Undang MCA Negeri Sembilan dalam proses untuk menulis surat bagi laporan tersebut kepada SPR memandangkan mereka ada kuasa untuk siasat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MCA DUN Rantau dekat Seremban hari ini.
Mengulas lanjut, Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon pula berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada mana-mana yang jelas memberikan sogokan kepada pengundi di Rantau.
“Kami merayu kepada SPR agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas dengan segera supaya tidak kira sesiapa yang melanggar undang-undang pilihan raya akan dibawa ke mahkamah.
“Kami amat harapkan satu tindakan segera dan jawapan diberikan segera oleh SPR agar standard pilihan raya di negara ini dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang media sama.
Bantuan Michael itu disalurkan kepada murid kurang berkemampuan dari lima buah sekolah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Semalam, calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram berkata, bantuan itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil DUN yang sedang berlangsung di Rantau.
“Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya, ia sumbangan peribadi (Teo), kanak-kanak sekolah bukan pengundi.
“Pada pendapat saya, ini bukan satu kesalahan kerana ini (pemberian kupon makanan percuma dilakukan) sebelum (30 Mac) hari penamaan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Mengulas mengenai itu, Koi Voon berkata, ia merupakan bantuan tidak langsung yang boleh mempengaruhi ibu bapa mereka untuk menyokong PH.
Ini adalah bantuan tidak langsung tapi kami mahu SPR siasat kerana sekiranya bantuan itu diberikan, maka ibubapa akan rasa gembira.
“Tindakan itu samada termasuk kepada undang-undang atau tidak, kami mohon SPR berikan jawapan mengenai isu in,” katanya lagi. -MalaysiaGazette