Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak pernah sesekali membodek Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menyanggah gelaran diktator yang dilabelkan oleh Nurul Izzah Anwar.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya dilakukan oleh pemimpin tertentu yang menyatakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri kelapan walaupun Mahathir masih menggalas jawatan itu.

“Saya tak minta jadi Perdana Menteri, orang yang minta jadi Perdana Menteri yang bodeknya.

“Beliau dipilih melalui pilihan raya bertanding di Langkawi, dipilih oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), bukan dia lantik diri dia sendiri, ikut cara demokrasi.

“Memang beliau tegas bukan peringkat nasional tapi peringkat antarabangsa pun beliau tegas, dalam masalah hubungan dengan Israel beliau tegas, kita sokong,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payong, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa Abdul Hadi menyanggah kenyataan yang melabel Dr Mahathir seorang pemimpin diktator sebagai cubaan ‘membodek’ Perdana Menteri.

Ia susulan wawancara Nurul Izzah bersama akhbar Singapura, The Straits Times yang meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi.

Nurul Izzah juga berkata beliau sukar untuk bekerja dengan Dr Mahathir, yang dianggapnya bekas diktator.

Ketika ditanya mengenai sikap dalam kalangan pemimpin PH yang melabel Dr Mahathir sebagai diktator, Abdul Hadi berkata, beliau enggan masuk campur.

“Itu terpulang kepada parti mereka sendiri, saya tidak mahu campur, hal masing-masing.

“Barangkali kalau sesebuah rumah, orang luar nampak rumah itu senget, tetapi orang dalam rumah tidak sedar dan tak tahu rumah senget atau tidak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette