Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan PDM Pekan Sagga, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2019.

PRK RANTAU – Penutup hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyenaraikan pelbagai jasa dan tanggungjawab yang pernah disumbangkan beliau kepada rakyat kawasan ini.

Ujarnya, sepanjang 14 tahun memegang jawatan itu, banyak masalah rakyat mahupun keluhan berjaya diselesaikan.

“Saya jadi MB 14 tahun sekali pun saya tidak pernah naikkan cukai tanah. Saya bagi banyak bantuan kepada JKM.

“Saya selesaikan semua masalah tanah di estet-estet Kampung Sagga. Permasalahan tanah 80 tahun saya selesaikan.

“Kalau tuan-tuan tidak mahu kenang jasa saya, tidak mengapa. Saya menangis nanti. Apa nak buat,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Sagga, Rantau sebentar tadi.

Mohamad turut ke PDM Pekan Sagga bersama-sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

MGF30032019_CERAMAH TOK MAT08
Sebahagian orang ramai mendengar ucapan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Mesra Bersama Pemimpin sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan PDM Pekan Sagga, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2019.

Malah kata Mohamad lagi, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mendapat perhatian beliau walaupun sudah tidak memegang jawatan Menteri Besar.

“Semalam saya pergi ronda kawasan, ada tiga orang mak cik pegang lutut saya dan hampir menangis, saya hairan mengapa.

“Dia kata bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saya sudah empat bulan sudah dihentikan. Kerajaan tidak cakap mengapa dipotong.

“Saya tinggal bajet dalam kerajaan negeri RM764 juta. Kenapa bantuan kepada orang miskin tidak diteruskan,” katanya lagi.

Kata Mohamad lagi, rakyat Negeri Sembilan memerlukan seorang ketua pembangkang yang kuat dalam memastikan pihaknya menjadi ‘semak dan imbang’ dalam segala perancangan kerajaan.

“Saya minta pengundi semua agar turun mengundi dan bantu saya untuk saya jadi ketua pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan negeri.

“Ini bukan untuk saya, saya bukan nak menang saya sudah tua. Tetapi saya hendak berkhidmat kepada rakyat di Rantau supaya kerajaan PH jangan tipu rakyat lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.