Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

KUALA LUMPUR – DAP mahu Parti Amanah Negara (Amanah) menyiasat dakwaan calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd. Nor Yassin yang mengakui bukan ahli parti itu.

Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke berkata, pihaknya menyerahkan isu tersebut kepada kepimpinan Amanah untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan tiada lagi tindakan sabotaj yang merugikan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak pasti itu ahli Amanah atau tidak, itu terpulang kepada pimpinan Amanah untuk membuat siasatan, dia pula sendiri kata dia ahli Pas.

“Jadi saya pun tak pasti, itu terpulang kepada pimpinan Amanah untuk membuat tindakan seterusnya, tapi di peringkat kepimpinan semua parti telah memberi komitmen bahawa calon PH mesti disokong bersama.

“Semua parti dalam PH telah pun bersetuju dalam majlis pimpinan untuk memberikan sokongan penuh kepada calon kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter, di Kuala Lumpur Sentral, hari ini.

MGF31032019_Majlis Pelancaran Xtra20 dan MyRailtime_16
Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

Beliau mengulas tindakan Mohd. Nor semalam yang bertindak menjadi calon Bebas bagi PRK DUN Rantau yang dilihat sebagai satu cubaan untuk mensabotaj calon PH dari PKR, Dr. S. Streram.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Mohd. Nor, Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional) dan seorang lagi calon Bebas, R. Malarvizhi.

Mohd. Nor yang merupakan bekas ahli Pas mendakwa bertanding kerana mahu menegakkan kepemimpinan Islam dan berharap ahli Pas mengundinya. – MalaysiaGazette