Streram
Calon PH, Dr. S. Streram bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2019

SEREMBAN – Rantau berpotensi besar untuk dibangunkan sebuah institut pengajian tinggi, kata Dr S.Streram hari ini.

Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, beliau juga mahu lebih banyak kolej kemahiran diwujudkan di Rantau untuk dimanfaatkan golongan muda.

“Setakat ini IPT tiada di Rantau, jika kewangan lebih baik dan saya rasa kita boleh buat kolej di sini dan boleh memperolehi pendapatan kewangan hasil daripada pelaburan.

“Port Dickson berhampiran Rantau dan lebih popular kepada pelancongan dan saya mahu meningkatkan pendapatan mereka (penduduk) sekaligus membawa masuk eko pelancongan mengindahkan Rantau,” katanya selepas Walkabout di Kampung Kuala Sawah pagi tadi.

Tambah Timbalan Ketua Cabang PKR Tembau itu, beliau juga telah berbincang dengan ahli ahli korporat untuk melaksanakan program yang memudahkan peluang pekerjaan untuk anak muda Rantau.

“Masalah di DUN Rantau ialah pekerjaan. Kita akan bincang dengan Menteri Besar negeri untuk merencanakan agenda memajukan DUN Rantau dari segi pelaburan, pelancongan untuk dapatkan pekerjaan.

“Saya juga harap kolej-kolej kemahiran di Rantau supaya mereka dapat menyediakan kursus untuk latihan kemahiran bagi pemuda di sini supaya mendapat kerja selain fokus di tempat yang ada keperluan.

“Setakat ini saya nampak di Rantau tidak ada perancangan kalau tengok blue print dari nilai ke PD.

“Kita akan beri peluang kerja di Vision City yang mana membolehlan kemasukan pelaburan banyak disamping kita mahu menggalakkan pertanian.

“Terdapat banyak tanah pertanian di Rantau dan mahu memastikan ia menyumbang pendapatan seperti tanam pokok kelapa, sayur, itu yang paling senang,”ujarnya.

Pakar bius berpengalaman lebih 38 tahun itu juga memuji pengamal media yang memberi liputan meluas untuk setiap program kempennya.

“Saya sayang media, mereka sangat baik memberi liputan dan saya tidak mempunyai masalah, sebaliknya gembira dengan tahap liputan yang diberikan setakat ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette