KUALA LUMPUR- AirAsia bakal terbang ke Quanzhou di Wilayah Fujian, China dengan penerbangan terus harian dari Kuala Lumpur bermula 1 Mei ini.
Quanzhou dahulu dikenali sebagai salah satu pelabuhan terbesar di dunia dan titik permulaan Laluan Sutera Maritim malah ia juga dinamakan sebagai Zaiton oleh para pedagang Arab.
Bandar tersebut juga pernah dinobatkan oleh Marco Polo sebagai “salah satu daripada dua lokasi perdagangan terbaik di dunia.”
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, AirAsia giat menghubungkan bandar-bandar kedua di China seperti Guilin, Shantou dan Nanning.
Statusnya sebagai pelabuhan perdagangan utama selama lebih dari tiga abad menjadikan Quanzhou sebagai sebuah sebuah bandar yang kaya dengan pelbagai budaya dan agama, serta mempunyai kuil Buddha dan Hindu, masjid dan gereja selain muzium yang mempamerkan warisan maritimnya.
“Justeru, perkhidmatan Kuala Lumpur-Quanzhou ini akan terus mengembangkan destinasi unik kami di China dan akan menawarkan capaian yang lebih baik kepada pelancong Malaysia dan China.
“Selari dengan perkembangan kami di China, kami juga berharap untuk meneroka peluang bagi menghubungkan hab-hab kami yang lain di Malaysia ke China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara tempat-tempat pelancongan yang harus dilawati di Quanzhou termasuklah Kuil Kaiyuan, sebuah kuil Buddha besar yang dibina lebih dari 1,300 tahun yang lalu; Masjid Qingjing, masjid ala Arab yang tertua di China yang diilhamkan daripada Masjid Umayyad di Damsyik; Jambatan Luoyang yang merupakan salah satu daripada “Empat Jambatan Kuno China”.
Jambatan tersebut menyerupai naga perak di atas sungai yang menghijau dan banyak lagi.
Para pelancong juga boleh melawat bandar Xiamen yang terletak hanya sejam dengan kereta api berkelajuan tinggi.
Bagi meraikan pelancaran laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang promosi bermula daripada RM99.
Tempah di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 14 April 2019, untuk perjalanan dari 1 Mei 2019 hingga 26 Oktober 2019.-MalaysiaGazette