Redzuan Md. Yusof
Mohd. Redzuan Md. Yusof

PETALING JAYA – “Kenapa pula saya tak boleh campur tangan? Saya ahli Jemaah Menteri, saya tahu apa yang diputuskan oleh kabinet.

“Dia (Fuziah Salleh) bukan ahli Jemaah menteri,” itu tegas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd.  Redzuan Md. Yusof menjawab kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berhubung Lynas Corporation.

Beliau menyangkal dakwaan Fuziah kononna kenyataannya mengenai isu Lynas itu semalam sebagai pandangan peribadi, bukan keputusan kabinet.

“Saya baru habis mesyuarat kabinet petang ini, mesyuarat itu sepatutnya dijadualkan Jumaat ini di Langkawi tapi diadakan hari ini.

“Kabinet memutuskan untuk membenarkan operasi Lynas manakala soal sisa-sisa keluaran Lynas itu adalah satu perkara lain yang kita kita kena uruskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi penutup program Pemasaran dan Pembekalan Produk Koperasi ke China di Auditorium Angkasa di sini petang tadi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Fuziah yang kurang senang dengan Mohd. Redzuan berhubung isu Lynas.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, kilang memproses nadir bumi itu bukan berada di bawah bidang kuasa menteri berkenaan.

Lynas sebaliknya, kata beliau, berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diterajui oleh menterinya, Yeo Bee Yin.

Jelas Fuziah, keputusan yang telah diambil kabinet adalah mengarahkan Lynas untuk menghantar sisa radioaktif keluaran kilang tersebut ke Australia dan tarikh akhir untuk syarikat berkenaan berbuat demikian adalah pada September ini iaitu sebelum lesennya diperbaharui.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, sebenarnya bukan mahu campur tangan perkara itu tetapi sekadar hendak memperbetulkan keadaan kerana kenyataan yang dibuat oleh Fuziah dianggap tidak konsisten dengan keputusan kerajaan.

“Bukan soal campur tangan. Kalau ada orang tanya (di Parlimen), saya jawab..sebab saya ahli Jemaah Menteri. Apa yang saya campur tangan?

“Saya tak menyatakan perkara yang tidak betul. Contohnya, hari ini, dia (Fuziah) tanya saya di Parlimen..saya jawab mengikut sistem yang boleh dipercayai.

“Kalau dia tak nak saya campur tangan, saya cadangkan dia buka laporan itu kepada umum. Saya tak buat kenyataan sembarangan. Saya cakap berasaskan fakta,” katanya beremosi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/01/fuziah-menasihatkan-redzuan-supaya-tumpu-kepada-kementeriannya-sahaja/