PRK RANTAU – Pengundi di Rantau tidak sepatutnya memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) untuk merekodkan kemenangan hatrik di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, masyarakat setempat yang akan menentukan wakil rakyat baharu tidak boleh mengambil sikap sambil lewa apapun keputusan 13 Aprl kerajaan negeri tidak akan berubah.
“Pilih Dr Streram dari PH juga untuk membantu kita memperlahankan BN yang mahu skor hatrik menerusi kemenangan di Rantau, kita tak boleh biarkan ia berlaku, kena sekat jangan sampai dia skor hatrik.
“Kalaupun UMNO tak kuat BN tetap tak kuat dan tidak akan ada perubahan. Apa pun UMNO akan semakin bergolak,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum Pakatan Harapansempena kempen PRK Dun Rantau di Bilik Gerakan Utama PH di Taman Reka, Rantau malam ini.
Menurut Saifuddin, selepas Zahid yang bermasalah melepaskan jawatan presidennya untuk dipangku oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, BN yang merekodkan kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih kini memasang impian untuk skor hatrik menerusi kemenangan ketiga di sini (Rantau).
“Dia (Tok Mat) nampak ada dorongan ke arah perubahan itu walaupun kita tahu mereka akan semakin bergolak,” ujarnya lagi.
Sebagai strategi untuk menyekat UMNO menang di Rantau kali ini, Ahli Parlimen Bandar Baharu Kulim itu menasihati pengundi supaya melihat kepakaran yang dimiliki oleh Streram.
“Pengalaman Streram berkhidmat misi kemanusiaan di beberapa negara bergolak termasuk Afghanistan dan menggunakan kepakaran sebagai pakar bius merawat mangsa tanpa melihat rupa, agama dan warna kulit perlu dinilai pengundi.
“Kalau dia boleh melakukannya dengan jiwa kemanusiaan di situ, dia juga boleh membantu rakyat Rantau dan inilah yang kita mahukan yang mana hantar tokoh sebegini ke DUN,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette