PETALING JAYA – Usahawan Islam di negara ini perlu lebih banyak menimba ilmu untuk menghasilkan produk halal yang menepati syariah.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md. Yusof berkata, walaupun tidak semua, tetapi ada sebahagian kecil usahawan Islam kurang faham dengan produk halal.
Katanya, apabila menyebut produk halal, ia tidak bermakna dikuasai oleh orang Islam sahaja.
“Sesiapa pun boleh buat produk halal asalkan berpandukan kepada syariah.
“Kita tidak boleh lebih taksub kepada orang Islam sahaja, (sebab) orang Islam sendiri pun kadang-kadang tidak tahu apa itu halal.
“Mereka sebut sebab mereka tahu produk itu halal, tetapi proses kea rah menepati syariat itu dia kurang faham,” katanya kepada pemberita selepas merasmi penutup program Pemasaran dan Pembekalan Produk Koperasi ke China di Auditorium Angkasa di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan wakil usahawan dari China.
Menurut Redzuan, bangsa lain boleh mengeluarkan produk halal sebab nereka menimba ilmu dan memahami kehendak orang Islam.
Beliau memberi contoh di Jepun, masyarakat negara itu sendiri tidak akan menerima barangan Melayu Islam yang dibuat di Malaysia kerana tidak menepati proses yang mereka faham sebagai halal.
Beliau menjelaskan kementeriannya menerusi Angkasa menganjurkan program itu bertujuan memasarkan produk pengerak koperasi ke negara China.
Katanya, beliau berpuas hati kerana kebanyakan negara luar seperti China, Jepun, United Kingdom (UK) dan negara Eropah menerima produk keluaran usahawan Malaysia.
“Ini yang kita anjurkan program dengan tujuan untuk membantu meningkatkan pengetahuan pengerak koperasi agar dapat menghasilkan produk yang lebih berkualiti,” katanya. – MalaysiaGazette