PRK RANTAU – Masyarakat tempatan di Rantau dikatakan tercicir daripada memiliki perumahan yang dirancang di kawasan itu sebelum ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) PRK Rantau, Dr. S. Streram kesal kerana kebanyakan projek perumahan yang dibangunkan di situ hanya dimiliki pembeli dari luar.
“Saya dapat melihat orang sini masyarakat tempatan di Rantau tidak memiliki aset rumah di tanah sendiri.
“Yang bermanfaat adalah ramai pembeli rumah dari luar tetapi orang sini pula tak dapat rumah,” keluhnya selepas melakukan walkabout dan makan tengahari bersama pengundi di Jalan Linsum, dekat Seremban hari ini.
Tambah Streram, bagi mengubah senario itu, beliau telah mengambil beberapa inisiatif meminta penduduk tempatan yang tidak dapat memiliki rumah sehingga mendaftar di pejabat khidmatnya.
“Kita akan panggil mereka dan menyertakan dalam senarai apabila ada pembangunan rumah pada masa akan datang selepas PRK ini nanti,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau tidak mempunyai statistik terkini berapa penduduk DUN Rantau yang tidak memiliki kediaman sendiri.
Tetapi beliau telah berbincang dengan agensi kerajaan pusat dan negeri untuk melaksanakan lebih banyak rumah kos rendah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Rantau.
“Untuk makluman, bayangkan kalau kita melihat di Kampung Siliau, ramai masyarakat Melayu B40 termiskin dan ada wujud keperluan mendesak untuk membantu mereka dalam soal prumahan begitu juga dengan golongan termiskin bukan Melayu di rantau ini,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette