Peniaga warung, Mohd Nor Muhammad Rashid bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2019

SEREMBAN – Perniagaan gerai makanan yang diusahakan Mohd Nor Mohamad Rashid selama tiga bulan nyaris musnah akibat dihempap pokok berikutan tanah runtuh berikutan hujan lebat dan ribut.

Kejadian tersebut menyebabkan atap gerai peniaga yang terletak di kaki sebuah bukit di simpang Jalan Kampung Linsum, Rantau rosak.

Bagaimanapun peniaga yang berusia 60 tahun itu menagih bantuan menambahbaik kerosakan gerai makanan itu daripada calon Pakatan Harapan, Dr. Streram semasa beliau melakukan Walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tengahari ini.

“Saya bersara lebih dua tahun lalu, jadi membuka gerai di sini dan kira kira-tiga atau empat bulan yang lalu, hujan mengakibatkan tanah runtuh di belakang gerai saya akibatkan kerosakan teruk. Saya pergi jumpa Dr (Streram) untuk bantuan,” kata Mohd Nor kepada pemberita.

Tambahnya, Streram berjanji untuk membaiki gerainya dalam masa terdekat.

“Ketika itu saya tak dapat memikirkan untuk mengadu mana-mana pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya keciuali Streram yang saya dekati dan mengadu masalah saya.

Terdahulu, Mohd Nor sempat memakai baju T Pakatan Harapan sebagai tanda penghargaan ketika Streram menjengok ke gerainya.

Ketika bertemu media, Streram berkata, beliau telah memaklumkan masalah Mohd Nor ke Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Tanah dan Galian.

“Kemudian kami melantik kontraktor membersihkan kawasan tanah runtuh itu dan segalanya selesai..

“Bagaimanapun sekarang Mohd Nor mengharapkan minta membaiki bumbungnya yang rosak serta beberpa penambahbaikan pada gerainya. Saya berharap akan bantu selesaikan selepas PRK ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette