Kedutaan Pyongyang di Madrid. foto ABCNews

PYONGYANG – Korea Utara mendakwa pecah masuk di kedutaannya di Sepanyol bulan lalu sebagai “serangan pengganas yang serius”.

Dalam komen rasmi pertamanya, Pyongyang menuntut siasatan segera dan memaklumkan negara itu memantau dengan rapat berhubung dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah memainkan peranan.

Rabu lalu, sebuah kumpulan yang komited untuk menyingkirkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Cheollima Civil Defense mengaku bertanggungjawab melakukan perkara itu.

Kumpulan itu mengambil komputer dan data dan mengatakan ia memberikan bukti kepada FBI.

Sekurang-kurangnya dua waran tangkap telah dikeluarkan untuk dua suspek utama.

“Satu serangan pengganas telah berlaku pada 22 Februari lalu, yang mana satu kumpulan bersenjata telah menyerang Kedutaan Korea Utara di Sepanyol,” kata Kementerian Luar Negeri.

Pihak berkuasa Sepanyol berkata, salah satu individu dalam kumpulan itu yang dikenali sebagai Adrian Hong Chan telah mendapat akses selepas bertanya untuk bertemu dengan perwakilan komersial yang didakwa telah ditemui sebelum ini untuk berbincang mengenai perniagaan.

Rakan-rakan Adrian kemudian menyerbu masuk selepas dia berada di dalam.

Kumpulan itu didakwa menyoal siasat perwakilan itu dan cuba untuk memujuknya berpaling tadah. Selepas beliau enggan, kumpulan itu mengikatnya di tingkat bawah.

Dua lagi anggota kumpulan tersebut adalah Sam Ryu seorang warga Amerika Syarikat dan Woo Ran Lee, dari Korea Selatan.

Kakitangan kedutaan itu dijadikan tebusan beberapa jam tetapi seorang wanita berjaya melepaskan diri melalui tingkap dan menjerit meminta bantuan.

Ketika polis tiba, Adrian telah menyambut mereka dan menyamar sebagai diplomat Korea Utara dengan memakai jaket dengan lencana yang memaparkan gambar Kim Jong-un pemimpin tertinggi Korea Utara.

Adrian memaklumkan kepada polis tiada apa-apa yang berlaku sebelum meninggalkan kedutaan dengan tiga kenderaan diplomatik.

Mereka berpisah kepada empat kumpulan dan menuju ke Portugal.

Adrian adalah warga Mexico dan menetap di Amerika Syarikat telah menghubungi FBI untuk memberi versinya lima hari kemudian.

Cheollima Civil Defense , juga dikenali sebagai Free Joseon, komited untuk melakukan rampasan kuasa terhadap dinasti Kim di Korea Utara. – MalaysiaGazette