Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR -Tuduhan mengatakan kepimpinan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menggunakan dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) untuk membiayai kos operasi tidak berasas.

YADIM dalam satu kenyataan hari ini juga memaklumkan sebarang pelantikan yang telah dilakukan adalah mengikut terma perkhidmatan yang biasa tanpa melibatkan pertambahan jumlah perjawatan sedia ada.

Ia juga tidak juga melebihi daripada siling peruntukan yang telah diberikan. Hal ini mungkin berbeza dengan Felo Muda Dakwah (FMD) yang telah diasaskan oleh kepimpinan YADIM sebelum ini dan telah menelan belanja lebih daripada RM11 juta.

“FMD yang telah diwujudkan di luar daripada perjawatan sebenar YADIM kini terpaksa dibiayai dengan menggunakan dana sumbangan MAWIP kepada YADIM yang sepatutnya boleh
digunakan bagi tujuan aktiviti dakwah dan pembangunan Islam yang lain.

“Dengan kos terkini lebih daripada RM1.74 juta bagi membiayai 30 orang FMD (anggaran RM58,000 dibelanjakan untuk melahirkan seorang FMD) yang dari segi peranannya diketahui oleh kakitangan sedia ada YADIM mempunyai fungsi politik kepartian sepertimana yang tular dalam beberapa siri kempen pilihan raya adalah satu kewajipan bagi kepimpinan YADIM yang baharu untuk memperbaiki salah satu contoh kelemahan yang amat nyata ini,” ujar kenyataan yang sama.

Sebelum itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempertikaikan kos dibelanjakan YADIM bagi kakitangan baharu dan bimbang ia menggunakan wang MAIWP.

Asyraf Wajdi merupakan bekas Yang Dipertua (YDP) YADIM semasa pemerintahan Barisan Nasional dan program FMD berlaku pada masa beliau di yayasan berkenaan.

Sementara itu, pelantikan Nik Omar Bin Nik Ab. Aziz sebagai YDP YADIM yang baharu oleh Perdana Menteri telah dilihat sebagai keseriusan pihak kerajaan dalam meletakkan tokoh muda dalam mengemudi sebuah yayasan yang sangat strategik dalam hal ehwal agama Islam.

Justeru, di bawah kepimpinan baharu itu telah menetapkan bahawa tempoh tiga bulan pertama kepimpinannya untuk menumpukan kepada usaha pemulihan, penjajaran, penstrukturan dan penumpuan hala tuju, struktur
dan operasi YADIM secara keseluruhan.

“Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah sementelah YADIM telah berfungsi sejak hampir separuh abad dengan dikuasai oleh tampuk kepimpinan lama yang umum mengetahui kecenderungan hala tuju siasah mereka terutamanya lewat
10 tahun kebelakangan ini.

“Bagi tujuan tersebut, YADIM amat memerlukan kepada tenaga berkemahiran dalam change management dan turn around management yang akan bertindak secara profesional dan tidak terikat dengan budaya lama serta bebas daripada pengaruh politik.

“Inilah yang telah mendorong YDP untuk menggarap perubahan menyeluruh dengan memperkasakan struktur organisasi YADIM bermula dari atas hinggalah ke bawah.

“Kemasukan muka-muka baharu dalam struktur operasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi mana-mana organisasi termasuk YADIM sendiri sebelum ini.

“Bahkan kemasukan kali ini tidak sama sekali berasaskan kepada afiliasi politik sebaliknya berdasarkan kepada merit kelayakan dan pengalaman luas yang dimiliki oleh mereka sama ada dalam sektor awam dan swasta,” kata kenyataan yang sama.

Menurut kenyataan itu, sebagai contohnya pelantikan Ketua Pegawai Operasi YADIM yang baharu adalah melibatkan pelantikan pegawai kerajaan yang dipinjamkan oleh Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA).

Kakitangan JPA bebas daripada sebarang kaitan politik selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran organisasi di dalam dan luar negara,” ujar kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/29/yadim-tak-wajar-dicabuli-kepentingan-politik/