Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC

WASHINGTON – Anak wartawan, Jamal Khashoggi yang dibunuh menerima pembayaran berjumlah lima angka setiap bulan daripada kerajaan Arab Saudi selain diberi kediaman di negara itu bernilai berjuta dolar sebagai pampasan terhadap pembunuhan bapa mereka, lapor The Washington Post.

Akhbar tersebut yang memetik pegawai dan bekas pegawai Arab Saudi selain ahli keluarga Khashoggi melaporkan dua anak lelaki dan dua anak perempuan wartawan itu menerima pembayaran tersebut sebagai sebahagian daripada usaha Arab Saudi memastikan mereka tidak mengeluarkan kenyataan kepada umum mengenai pembunuhan tersebut.

Khashoggi dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada tahun lalu dan dipercayai Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengarahkan pembunuhan tersebut walaupun beliau telah menafikan dakwaan itu.

Setiap anak Khashoggi menerima rumah bernilai AS$4 juta, menurut akhbar tersebut seperti dipetik The Hill.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa mereka mungkin menerima pembayaran sehingga berpuluh-puluh juta dolar dalam rundingan yang sedang dilakukan dengan kerajaan Arab Saudi dan tidak mengkritik kerajaan secara keterlaluan sejak pembunuhan tersebut.

Sumber memberitahu The Washington Post bahawa Raja Salman telah meluluskan pembayaran tersebut pada akhir tahun lalu dalam usaha mengiktiraf ‘ketidakadilan besar telah dilakukan’ dan cubaan ‘menjadikan yang salah itu betul’.

Seorang pegawai Arab Saudi yang menafikan kepada The Washington Post bahawa pampasan telah diberi dalam usaha menggesa anak-anak Khashoggi mengunci mulut berkata, sebaliknya pembayaran itu adalah selari dengan tradisi negara berkenaan menyediakan sokongan kepada mangsa jenayah.

“Sokongan seperti ini adalah sebahagian daripada adat dan budaya kami.

“Ia tidak dikaitkan dengan perkara lain,” kata pegawai itu kepada akhbar tersebut. – Agensi