KUALA LUMPUR – Bangunan Malaysia di Hong Kong didakwa ditawarkan untuk dibeli pada harga HK$1.6 bilion dan bukannya RM1.6 bilion seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng.
Malah, tawaran itu bukanlah muktamad.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pemain industri Hong Kong kepadanya.
“Saya juga dimaklumkan bahawa nilai pasaran hartanah tersebut adalah kira-kira HK$1.6 bilion (RM800 juta) selepas dinilai bersandarkan kepada keadaan bangunan serta status pajakan yang berbaki lagi 9 tahun,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Beliau yang pernah memohon supaya Menteri Kewangan menunjukkan bukti bertulis tawaran RM1.6 bilion itu yakin Guan Eng tidak akan berani untuk berbuat demikian.
Oleh itu, beliau memberi ruang kepada Guan Eng untuk menunjukkan laporan nilai sebenar bangunan tersebut dan juga nilai rizab tender yang dikatakan mencecah RM1.6 bilion sebagaimana yang dijanjikan beliau.
“Sekiranya benar beliau menerima bidaan RM1.6 bilion, maka amatlah wajar Guan Eng dipuji kerana berjaya menjual bangunan bernilai RM800 juta iaitu dua kali ganda daripada nilai pasaran.
“Tetapi, kalau tidak ada tawaran seperti yang disebut, maka Guan Eng perlu meletak jawatan serta-merta kerana telah mengelirukan Parlimen,” katanya.
Baru-baru ini, Guan Eng berkata, penjualan aset bangunan Malaysia di Hong Kong yang kini melalui proses tender terbuka antarabangsa dengan harga rizab RM1.6 bilion.
Beliau berkata, bangunan itu dijangka menerima bidaan yang lebih tinggi berbanding rundingan terus yang ditawarkan sebelum 9 Mei 2018 adalah sebanyak RM1.1 bilion.
“Rakyat hilang sekurang-kurangnya RM500 juta jika dilakukan secara rundingan terus ala BN, sekiranya kerajaan BN tidak digantikan oleh Pakatan Harapan yang melakukannya secara tender terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette