Dewan Rakyat
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Kewangan memohon sebanyak RM4.13 bilion bagi peruntukan tambahan Bajet 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebanyak RM1.922 bilion adalah untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2018 ke Kumpulan Wang Pembangunan.

Menurutnya, sebanyak RM1.205 bilion bagi merekup semula jumlah yang telah didahulukan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan luar jangka tahun 2018.

Manakala sebanyak RM1.005 bilion peruntukan tambahan langsung kepada Kementerian/Jabatan yang telah diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi daripada peruntukan bagi membiayai perkara-perkara yang komited pada tahun
2018.

Beliau berkata demikian bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018.

Kementerian-kementerian terlibat dalam anggaran perbelanjaan tambahan itu ialah Kementerian Kesihatan RM705.6 juta; Kementerian Dalam Negeri RM513.9 juta; Kementerian Pendidikan RM300 juta dan Kementerian Pertahanan RM226.2 juta.

Jabatan Perdana Menteri RM215.4 juta; Suruhanjaya Pilihan Raya RM98.5 juta; Perbendaharaan RM76.3 juta; Kementerian Luar Negeri RM70.4 juta; dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia RM5 juta.

Guan Eng menambah, anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 yang dipohon adalah sebanyak RM15.485.4 bilion.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM1.967 bilion merupakan pendahuluan yang telah dikeluarkan daripada Simpanan Luar Jangka.

Anggaran tambahan diperlukan bagi membiayai projek-projek pembangunan Kementerian Kewangan RM9.203 bilion, Kementerian Kerja Raya (RM1.970 bilion), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM1.427 bilion), Kementerian Pengangkutan (RM1.400 bilion) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM876.4 juta).

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM417.5 juta), Jabatan Perdana Menteri (RM119.6 juta), Kementerian Pendidikan (RM41.5 juta) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan RM30 juta. – MalaysiaGazette