Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah terlebih belanja sebanyak RM9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun 2018 berbanding RM280 bilion yang diluluskan dalam anggaran perbelanjaan Persekutuan 2018.

Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM6 bilion perlu disediakan untuk membiayai komitmen perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi tanpa disediakan peruntukan.

Komitmen tersebut termasuk, pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor sebanyak RM1.4 bilion disebabkan keputusan kerajaan terdahulu untuk memansuhkan tol pada penghujung tahun 2017.

Di samping itu, pelbagai projek pembangunan sambungan tidak disediakan peruntukan yang mencukupi seperti Projek Landasan Berkembar di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebanyak RM1.0 bilion, penyediaan pinjaman mudah untuk lebuhraya RM0.5 bilion dan projek pembentungan RM0.4 bilion.

Selain itu, kerajaan terdahulu juga tidak menyediakan peruntukan mencukupi di bawah perbelanjaan mengurus walaupun ia merupakan bayaran kontraktual seperti perkhidmatan sokongan hospital RM0.5 bilion, kontrak pembersihan dan keselamatan sekolah RM0.3 bilion dan kontrak penyelenggaraan pesawat TUDM RM0.1 bilion.

Lim Guan Eng menambah, selain itu, bayaran khidmat hutang off-balance sheet juga memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM4 bilion.

“Ada pihak yang cuba mendakwa Kerajaan sekarang berbelanja lebih daripada Kerajaan terdahulu dan menanggung defisit yang lebih tinggi.

“Hakikatnya, defisit belanjawan yang dicapai pada tahun-tahun sebelum ini tidak menggambarkan defisit sebenar,” katanya ketika membuat bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2018) dan usul anggaran perbelanjaan pembangunan tambahan pertama 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebahagian daripada perbelanjaan kerajaan terdahulu disembunyikan melalui perbelanjaan yang dibiayai secara
pinjaman off-balance sheet, pinjaman tersebut tiada sumber untuk dibayar balik selain daripada kerajaan.

Antara peruntukan yang diperlukan bagi bayaran khidmat hutang off balance sheet adalah seperti bayaran Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang memerlukan tambahan sebanyak RM1.1 bilion dan bayaran khidmat hutang Dana Infra yang memerlukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion.

Jelasnya, semasa tahun 2018, Kementerian Kewangan telah membantu dengan bayaran kupon bon dan sukuk 1MDB sebanyak RM1.6 bilion tanpa melibatkan peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen kerana dibiayai daripada sumber off-balance sheet.

Anggaran tambahan perbelanjaan yang dibentangkan berjumlah RM19.6 bilion yang mana RM6.3 bilion merupakan
komitmen kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan dan RM4.3 bilion merupakan peruntukan tambahan yang
diperlukan untuk bayaran khidmat hutang off balance sheet yang dipinjam oleh kerajaan terdahulu.

“Baki sebanyak RM9 bilion pula bukan merupakan perbelajaan tambahan, sebaliknya adalah pengklasifikasian semula
perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus kepada pembangunan.

Antaranya melibatkan pembiayaan pengajian pelajar di dalam dan di luar negara di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM2 bilion, bayaran balik pinjaman Dana Infra sebanyak RM1 bilion serta bayaran khidmat hutang (PFI) sebanyak RM3.9 bilion.

Peruntukan bagi perbelanjaan ini telah disediakan di bawah perbelanjaan mengurus tetapi diklasifikasikan semula kepada
perbelanjaan pembangunan dan pada masa yang sama memerlukan peruntukan tambahan.

Selain daripada peruntukan mengklasifikasikan semula perbelanjaan, sebanyak RM1.9 bilion juga diperuntukkan untuk pindahan lebihan hasil kepada Kumpulan Wang Pembangunan. – MalaysiaGazette