Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pelakon digesa melihat ke hadapan, tidak hanya tertumpu menjual hak cipta bahan terbitan mereka kepada satu pengedar atau stesen televisyen sahaja untuk mendapatkan semula pelaburan dengan sekali jualan.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Pertubuhan Media Minoriti (MiMe), Harnarain Singh Gill, mereka perlu melihat bahan terbitan itu sebagai pelaburan jangka panjang yang perlu dieksploitasi menggunakan platform sedia ada dan akan datang.

“Untuk mendapatkan semula pelaburan mereka dalam dunia hak cipta bahan terbitan, mereka tidak perlu menumpukan pada satu pengedar atau stesen televisyen sahaja.

“Mereka ada banyak peluang boleh dieksploitasi sama ada peluang sedia ada atau peluang akan datang untuk meraih keuntungan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan pelakon berbakat besar, Sharifah Amani yang dilaporkan memboikot Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) pada Sabtu lalu.

Amani memberitahu, dia membuat keputusan itu kerana tidak sanggup berpura-pura sedangkan ramai dalam kalangan penggiat seni masih bergelut dalam mencari nafkah bagi kelangsungan hidup.

“Saya tidak dapat meyakinkan diri untuk berpura-pura kelihatan cantik dan meraikan apabila kebanyakan penggiat seni dalam industri kita tidak dapat membayar bil, memberi makan kepada keluarga atau memenuhi keperluan mereka,” katanya menerusi Twitter yang disiarkan sebuah portal Sabtu lalu.

Menjelas lanjut, Harnarain Singh berkata, dengan gesaan MiMe itu, sekurang-kurangnya penerbit dan pelakon boleh memberikan imbuhan atau bayaran lebih kepada penggiat seni, sekali gus menyediakan jaminan kerja lebih baik.

“MiMe secara khususnya bersetuju dengan kenyataan Sharifah Amani berhubung kontrak berat sebelah dalam industri hiburan Malaysia.

“Kita akui bukan sahaja penggiat kreatif, penerbit juga berhadapan situasi sukar.

“Dulu penerbit mengeluarkan filem dengan peruntukan dari pihak penyiaran dan kandungan televisyen untuk penyiaran dihasilkan dengan bajet amat kecil yang disediakan,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, hari ini situasi berbeza kerana dengan adanya OTT (over the top) dan platform lain untuk mengeksploitasi kandungan televisyen tersebut di dua pasaran dalam dan juga luar negara.

Untuk itu, MiMe berharap penggiat seni tidak menandatangani kontrak secara membuta tuli agar cepat mendapat kerja.

Mereka perlu mendapatkan nasihat undang-undang untuk melihat sekiranya ada syarat berat sebelah pada kontrak, lebih lagi melibatkan bayaran royalti, skim insurans dan simpanan, tambahnya.

Kata MiMe, akan sentiasa ada untuk membantu penggiat seni dengan menawarkan bantuan dari segi undang-undang berkaitan kontrak dengan penerbit.

“Untuk itu, kita gesa penggiat seni membuat pelaburan dalam skim insurans peribadi dan skim simpanan kerana mereka kadang-kadang bekerja untuk lebih dari satu majikan setahun.

“Kami juga mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM) serta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) melihat semula penstrukturan harga bagi perolehan kandungan dan syarat perjanjian dengan penerbit.

“Ini bagi membenarkan mereka menjual hasil seni dan mengeksploitasinya ke platform lain,” ujar beliau.

Katanya, KMM itu juga perlu meluaskan kepada penerbit lebih muda bagi membolehkan mereka menyuntik idea segar dalam industri hiburan dan sekali gus menghasilkan peluang kerja lebih banyak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast