ALGIERS – Presiden Abdelaziz Bouteflika akhirnya melepaskan jawatannya selepas 20 tahun memerintah.
Beliau melepaskan jawatannya susulan bantahan besar-besaran oleh rakyatnya selama enam minggu.
Beratus-ratus orang berarak di jalan-jalan raya di ibu negara selepas pengumuman dibuat oleh pemimpin berusia 82 tahun itu.
Bouteflika yang didakwa sebagai pemimpin elit telah didesak melepaskan jawatannya selepas didapati gagal untuk mentadbir negara, selain ekonomi dikuasai oleh kroni-kroninya.
Sehari sebelum pengumuman peletakan jawatan dibuat, Ketua Tentera, Leftenan Jeneral Ahmed Gaed Salah berkata, Bouteflika yang uzur tidak layak memegang jawatan presiden.
Stesen televisyen yang menyiarkan pengumuman Bouteflika memaparkan keadaannya yang lemah, memakai pakaian musim sejuk tradisional, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Ketua Majlis Perlembagaan.
Turut hadir Abdelkader Bensalah, Pengerusi Majlis Parlimen, yang akan mengendalikan negara selama 90 hari sehingga pilihan raya diadakan. – MalaysiaGazette
















