Lelongan kapal pesiaran mewah 'Equanimity’ yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah menarik minat pembeli daripada rantau Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Kapal mewah Tranquility yang dahulunya dikenali sebagai Equanimity.

KUALA LUMPUR – Genting Malaysia Berhad mengesahkan telah membeli kapal mewah Equanimity pada harga AS$126 juta atau kira-kira RM514.6 juta.

Harga belian itu merangkumi tempat penyimpanan minyak, bahan api dan pelincir serta barangan yang sedia ada dalam kapal mewah tersebut.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Genting Malaysia berkata, ia telah membuat penawaran pada 28 Mac lalu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli Equanimity yang di bawah proses Jualan Penghakiman, secara jualan terus persendirian mengikut perintah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikuti bidang kuasa Admiralti.

Menurutnya, Mahkamah Admiralty di Kuala Lumpur telah meluluskan tawaran yang dibuat oleh Genting Malaysia mengikut terma dan syarat Sherif.

“Pengambilalihan itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Genting Malaysia dan penyelesaian jualan dijangka berlaku menjelang akhir April 2019,” katanya.

Cadangan pembelian itu tidak dijangka memberi kesan kepada perolehan dan aset-aset bersih dan gearan Genting Malaysia bagi tahun kewangan 31 Disember 2019. – MalaysiaGazette