KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, G Gnanaraja didapati masih belum memulangkan darjah kebesaran yang diterima daripada istana Pahang sehingga kini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Istana kepada The Star.

Gnanaraja menerima kebesaran Sultan Ahmad Shah Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) pada 19 Mac 2014 di Istana Pahang, Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur.

Semalam, Istana Pahang melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak membuat pendedahan perkara itu penarikan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ itu bukan satu khabar angin.

Malah, dalam surat penarikan balik darjah kebesaran bertarikh 13 Mac lalu, Gnanaraja tidak lagi dibenarkan menggunakan gelaran itu berkuatkuasa serta-merta.

Gnanaraja juga telah diminta mengembalikan darjah kebesaran yang diterima itu ke Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Ahli perniagaan itu merupakan pengarah urusan sebuah syarikat hari ini dihadapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu dengan nilai berjumlah RM19juta bagi tujuan membantu menutup siasatan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion dua tahun lalu.

Gnanaraja bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh telah memperdayakan seorang pengarah syarikat sebanyak RM19 juta bagi menutup siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Mahkamah telah menetapkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mei depan. –MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/02/istana-pahang-tarik-balik-gelaran-gnanaraja/