Lew Keng Joe
Lew Keng Joe

SHAH ALAM – Sehingga kini suspek yang bertindak menyerang jentera Fire Rescue Tender  (FRT) pada malam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman masih belum dapat dikesan.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Subang Jaya Lew Keng Joe berkata, usaha mengesan dan risikan menjadi sukar apabila video yang tular tidak dapat menjelaskan penyerang FRT walaupun telah dianalisis oleh pakar forensik. 

“Setakat ini kita masih dalam tindakan (siasatan) pihak polis, boleh dikatakan kita masih belum dapat mengesan suspek utama seperti yang pecahkan cermin trak jentera, kita masih jalankan risikan mengesan mereka.

“Boleh ada nampak dalam video tapi gambar sebenar muka tidak jelas sebab pecah-pecah,” katanya kepada Mahkamah Koroner.

Terdahulu beliau sebagai saksi ke-28 inkues kematian anggota bomba itu memaklumkan menggunakan video yang viral dirakamkan oleh salah seorang saksi awam bernama Hardeep Singh menunjukkan trak bomba diserang perusuh pada 27 November.

“Hasil analisa forensik terdapat pembesaran imej-imej tidak begitu memuaskan gambar pecah-pecah jadi tidak nampak sangat.

“Untuk nampakkan gambar yang lebih terang saya mintak Hardeep Singh (saksi yang merakamkan) hadir sekali untuk pindahkan keluar video dari telefon bimbitnya,” katanya lagi.

Dalam masa sama Lew menerusi video yang ditayangkan kepadanya di dalam mahkamah mengesahkan bahawa Adib tidak berada di antara jentera FRT dan van Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Hazim (anggota bomba saksi keenam) juga mengesahkan itu adalah dirinya selepas rakaman percakapannya diambil.

“Untuk itu, dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan kelibat anggota bomba itu adalah Muhammad Adib tidak benar,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Turut hadir pada prosiding hari ini adalah lima anggota bomba yang juga saksi awal iaitu pemandu FRT, Md. Elliza Mohd. Noor (saksi kedua), Pegawai Perubatan EMRS, Ahmad Shahril Othman (saksi ketiga), Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Badrul Hisyam Salim@Ali (saksi kelima), Mohd. Hazim Mohd. Rahimi (saksi keenam) dan Mohd. Sharol Anuar Kamaruddin( saksi ketujuh) dan saksi awam, R. Narresh yang merupakan saksi kesembilan untuk tontotan video.-MalaysiaGazette