Menteri Kewangan, Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penjualan kapal layar mewah Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd berikutan harga pembelian yang ditawarkannya adalah yang terbaik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju menjual kapal tersebut kepada syarikat berkenaan kerana dalam tempoh 8 bulan ia terpaksa menanggung kos penjagaan sebanyak RM14.2 juta.

“Itu jumlah yang besar. Jika kita boleh jual dengan cepat lebih baik kerana kita tanggung RM2 juta sebulan, membebankan kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan sememangnya mahu menjual Equanimity pada harga yang lebih tinggi namun tawaran terbaik diambil berdasarkan tawaran terbuka.

Beliau juga tidak pasti sekiranya Genting merupakan satu-satunya syarikat yang membuat tawaran terhadap pembelian tersebut.

“Saya tidak selidik syarikat mana yang buat permohonan dan bidaan. Tetapi yang saya faham tentu pihak peguam negara menerima banyak tawaran.

“Inilah paling tinggi. Ini adalah tender terbuka juga,” ujarnya.

Hari ini, Putrajaya bersetuju menjual kapal Equanimity kepada Genting pada harga AS$126 juta.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, Genting akan membayar AS$126 juta kepada Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Guan Eng menunjukkan bukti beliau menerima surat tawaran tertinggi daripada sebuah syarikat guaman dari Hong Kong untuk pembelian sebuah menara milik kerajaan di negara itu.

Katanya, surat itu menunjukkan syarikat tersebut menawarkan sebanyak RM1.68 bilion untuk membeli menara tersebut.

“Sebenarnya saya ada silap sikitlah… Saya sebut RM1.6 bilion, sebenarnya harga yang ditawarkan adalah RM1.68 bilion.

“Kerajaan merasakan kita boleh dapat harga lebih lumayan lagi apabila kita buat tender terbuka,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Equanimity dijual pada Genting AS$126 juta