Armand Azha
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Subang menyokong pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara tegas tidak akan menarik balik istilah jihad.

Ketuanya Bahagian itu, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, DAP tidak perlu melenting dengan perkataan itu kerana erti jihad ialah berjuang dengan bersungguh-sungguh.

Soalnya, kenapa Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng melenting dengan perkataan yang disebut Ismail Sabri bagi menjelaskan kerjasama UMNO dan Pas dalam memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Saya ingin mengajar agar Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mendesak Ketua Pembangkang supaya menarik balik istilah jihad untuk memahami ertinya dalam Islam.

“Pada pemimpin DAP dan penyokong DAP, erti kata jihad ialah berjuang dengan bersungguh-sungguh.

“Apabila Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan untuk sama-sama UMNO dan Pas jihad melawan Pakatan Harapan (PH) adalah agar bersungguh-sungguh serta fokus dalam mendapat sokongan rakyat melalui proses demokrasi negara iaitu melalui pilihan raya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam perbahasannya di Parlimen semalam, Ismail Sabri ‘diserang’ oleh Ahli Parlimen DAP berhubung perkataan ‘jihad’ yang digunakan untuk menyatakan gabungan UMNO dan Pas.

Beliau bagaimanapun, enggan menarik balik perkataan itu dan menyifatkan DAP yang mempunyai prejudis serta persepsi sangat negatif terhadap Islam.

Mengulas lanjut, Armand Azha yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bera itu bukan bersifat perkauman seperti mana dimainkan oleh penyokong dan media PH.

Tegasnya, kenyataan itu adalah untuk berjihad atau bersungguh-sungguh bagi menenangi pilihan raya umum akan datang menentang kerajaan DAP atau PH.

“Tiada istilah pun beliau menyebut bangsa mahupun agama. Soalan saya pada Lip Eng, adakah beliau mengiyakan bahawa DAP adalah sebuah parti yang hanya mementingkan Cina sahaja?

“Saya ingin mengajar dan mengingatkan beliau untuk memahami sejarah negara, di mana UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah Pas adalah sebuah parti yang konsisten memperjuangkan semua kaum, agama dan bangsa sejak merdeka hingga kini.

“Ini merupakan salah satu dasar yang tidak boleh disanggah oleh mana-mana pihak termasuk dari parti DAP,” ujar beliau.

Beliau turut menasihatkan DAP dan PH agar tidak sekali-kali keluarkan kenyataan yang nampak kurang bijak dalam isu perpaduan ummah antara UMNO dan Pas.

Sebagai sebuah parti, katanya, sudah pasti harus bersungguh-sungguh atau berjihad apabila melawan musuh politik.

“Kami berdiri teguh dan menyokong keputusan Naib Presiden UMNO (Ismail Sabri) tidak menarik kenyataan itu dan agar UMNO, Pas bersungguh-sungguh untuk tewaskan PH melalui proses demokrasi pada pilihan raya akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette