Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Mesra Bersama Tok Mat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Bemban, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2019.

SEREMBAN –  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan nombor satu kerajaan itu dengan mudah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata,  beliau kenal sangat dengan sikap Dr Mahathir yang keras dan tegas.

“Saya tahu atok (Mahathir) kita itu hatinya keras. Ini yang bercita-cita hendak jadi perdana menteri (Anwar) mati kering jadi bacang gantung tidak jatuh-jatuh.

“Saya tahu sangat atok kita itu. Dia tidak akan bagi (jawatan perdana menteri kepada Anwar),” katanya ketika menghadiri kempen ceramah di Kampung Bemban malam tadi.

MGF02042019_TOKMAT SOLAT ISYA04
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan sebahagian jemaah sebelum menghadiri Majlis Mesra Bersama Tok Mat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Masjid Kampung Bemban, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2019.

Dakwanya, Anwar juga akan kekal sebagai individu yang paling lama yang memegang status bakal perdana menteri negara ini.

Mengulas lanjut, Mohamad juga berkata, Barisan Nasional (BN) yang mengetuai pembangkang perlu bersatu. malah terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah berlakunya pembubaran Parlimen lebih awal.

“Mahu tidak mahu esok, payah benar (pilih perdana menteri) dia (Mahathir) bubar Parlimen. Jadi kita mesti bersedia. Penyatuan ummah adalah agenda kita supaya kita dapat bina satu gabungan kekuatan baharu,” katanya.

Beliau turut berkata, Dr Mahathir tidak mempunyai mandat yang kuat berdasarkan penguasaan kerusi parti pimpinannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dewan Rakyat.

MGF02042019_MAJLIS MESRA BERSAMA TOKMAT02
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan sebahagian orang ramai yang hadir pada Majlis Mesra Bersama Tok Mat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Bemban, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2019.

“Beliau dipilih daripada parti yang hanya mempunyai 13 kerusi. Beliau sendiri kata hendak jadi perdana menteri pun terpaksa minta izin dan persetujuan daripada DAP kerana DAP dan PKR miliki kerusi majoriti besar di dalam Parlimen sekarang.

“Kekalahan (BN) dalam PRU14 kerana kita tidak mempunyai strategi yang baik. 30 kerusi Parlimen kita kalah disebabkan pertandingan tiga penjuru. Jika tidak ada pertandingan tiga penjuru, kita susun persefahaman ini, 30 kerusi itu tidak akan kalah.

“Sebab itu saya amat yakin, jika persefahaman yang kita pupuk sekarang ini iaitu penyatuan ummah seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam, saya yakin PRU15 kita akan rampas kerajaan daripada Pakatan Harapan,” katanya. -MalaysiaGazette