Mazlan Bujang

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan berhubung dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata langkah itu penting bagi mengetahui zon sebenar pelaksanaan projek berkenaan.

“Ia difahamkan dilaksana di luar 3.5 batu nautika dari kawasan persisiran pantai negeri Johor (perairan kawasan pelabuhan Johor Bahru). Kalau betul maka ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya kerajaan pusat kerana kita hanya berhak terhadap kawasan yang dalam 3.5 batu nautika sahaja.

“Bagaimanapun, saya telah diminta untuk mendapatkan maklumat terperinci supaya kita tahu zon sebenar keberadaan projek. Jadi ini bukanlah satu isu besar. Kita boleh selesaikan dengan cara baik,” katanya ketika mengulas dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan tidak berunding dengan kerajaan negeri mengenai projek itu,

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Infrastruktur Unifi antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan anak syarikat UMLand – Dynasty View Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ditanya tentang sentimen rakyat yang melihat isu itu seolah-olah kerajaan pusat tidak menghormati kerajaan negeri, Mazlan berkata: “Ia (sentimen) adalah perkara yang biasa sekiranya ada rakyat tidak menyokong kerajaan.”

Pembinaan STS melibatkan kerjasama antara syarikat tempatan milik bumiputera, KA Petra Sdn Bhd dan syarikat perkapalan terbesar dunia berpangkalan di Hong Kong – Hutchinson Port Holdings Limited dijangka menelan kos antara AS$150 juta hingga AS$180 juta (RM612.60 juta hingga RM735.11 juta).

Perjanjian mengenainya telah ditandatangani kedua-dua pihak di Putrajaya, dua hari lepas dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette