Trend anak muda sekarang menjaja di lampu isyarat. - Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Trend menjaja di tepi-tepi lampu isyarat oleh kalangan golongan muda bukanlah satu gambaran bahawa mereka sukar mendapatkan pekerjaan dan terdesak.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ia sebaliknya adalah kreativiti dalam mengharungi persaingan perniagaan dan merupakan perkara baharu di negeri ini.

Katanya, pemantauan kerajaan negeri juga mendapati peniaga mampu memperoleh pendapatan yang lebih lumayan berbanding berniaga di kedai.

“Kita ambil maklum mengenai perkara itu, cuma dari segi sudut mana kita melihat…jika dari sudut negatif…negatiflah ia dan jika dilihat positif, akan positiflah. Kita memang sentiasa menggalakkan usahawan sentiasa kreatif dan mengelak daripada meniru sepertimana peniaga lain,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nawi Mohammad (BN-Hulu Besut) berkenaan dakwaan tindakan tersebut memberi gambaran tidak baik kepada pelancong dan menimbulkan kegusaran dari sudut keselamatan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Mohd Nurkhuzaini berkata pihaknya juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas dalam jangka masa terdekat bagi mencari resolusi terbaik perkara tersebut dengan melibatkan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) dan polis.

Mengenai soalan asal Nawi mengenai program terbaharu kerajaan negeri, beliau berkata kerajaan negeri telah mewujudkan Program Usahawan Belia Sejahtera melibatkan peruntukan RM2 juta dengan sasaran melahirkan 150 orang setahun.

Katanya, pengambilan sesi pertama akan bermula April ini yang melibatkan program usahawan berkenaan perniagaan dalam talian.

Persidangan yang berlangsung sejak 1 April itu ditangguhkan hari ini dan akan disambung pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

— BERNAMA