Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian orang ramai pada Program Santai bersama 'Bossku' sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 04 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Penyertaan kali pertama Datuk Seri Najib Razak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mencuri tumpuan ramai apabila beliau mengetengahkan hasratnya mahu membina bilik khas untuk pengkritik beliau.

Kata bekas perdana menteri itu, bilik tersebut bagi mengumpulkan pihak-pihak yang telah mencaci dan memfitnah beliau sepanjang sembilan tahun menerajui tampuk kepimpinan negara.

“Saya cadang nak bina bilik khas kepada mereka yang ingin minta maaf kepada saya setelah memaki dan memfitnah saya dan keluarga.

“Orang Asli kata nanti bersusun-susun,” katanya dalam Program Santai bersama ‘Bossku’ di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan, sebentar tadi.

Katanya ramai yang datang bertemu beliau bagi meminta maaf atas alasan mereka pernah mencaci dan memfitnah beliau.

“Orang sudah minta maaf dengan saya ramai. Ini cerita benar.

“Tadi keluar surau, ada orang bisik kat saya. Datuk, saya mintak maaf sebab dulu caci dan sekarang saya tahu apa yang saya caci itu tidak benar.

“Saya maafkan dia,” katanya sambil menerima tepukan dan gelak ketawa hadirin yang hadir.

Terdahulu, Najib tiba di Restoran Syamiera Corner jam 9.20 malam untuk bertemu penyokongnya serta pengundi DUN Rantau.

Lebih 500 penyokong dan pengundi sedia menunggu Naib sejak jam 8 malam.

Pada awal Februari lalu, pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Husam Baderudin mengadakan pertemuan dengan Najib bagi memohon maaf kerana mendakwa mempercayai fitnah yang dilemparkan terhadap bekas perdana menteri itu.

Pertemuan itu disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Bagi Najib, beliau sedia memaafkan semua yang memfitnahnya sehingga menyebabkan BN tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu. -MalaysiaGazette