SEREMBAN – Dr. S. Streram menganggap penduduk Rantau lebih mengenalinya secara bersemuka berbanding cubaan memperkenalkan diri menerusi penggantungan poster.
Malah calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berpendapat penduduk setempat lebih mengenalinya berbanding pencabar beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Saya rasa mungkin rakyat lebih kenal saya dari Tok Mad sebab dia banyak poster di merata tempat.
“Rakyat senang kenal saya dan berkata mereka suka bergaul dengan saya setiap masa,” katanya selepas menemui pengundi Kampung Pasir di Kuala Sawah di sini malam tadi.
Turut dihadiri Ketua Cabang PKR Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Tambahnya, setakat ini jentera PH tidak berdepan masalah untuk menggerakkan kempen selain pemasangan poster dan sepanduk untuk merancakkan kempen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK di Rantau pada 13 April ini selepas Mahkamah Rayuan pada Februari lalu menolak rayuan penyandang DUN Rantau, Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding bekas Menteri Besar itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.
Keputusan itu menyusul selepas Streram yang juga bekas calon PRU14 untuk PKR dihalang masuk untuk mengemukakan pencalonannya kerana gagal mempamerkan pas calon pada hari penamaan calon 24 April 2018. – MalaysiaGazette
















