Dewan Rakyat
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tidak akan memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC) selepas ini.

Perkara itu dimaklumkannya jika Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad sah akan menggantikannya.

“Tidak berbangkit. Itu tak berbangkit lah. Takkan aku duduk lagi PAC kot. Saya keluar dari PAC. Jelas dah.

“Takkan saya nak jadi ahli kot. tak payah kot…,” katannya kepada pemberita.

Kiandee berkata demikian ketika ditanya kedudukan beliau  selepas Noraini menggantikannya.

Penggantian Ronald akan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu usul ke sidang Dewan Rakyat yang kini berada di tempat ke sembilan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUN) Dewan Rakyat.

Tambah Ronald, usul penggantiannya mungkin akan dibentang minggu depan, iaitu persidangan sidang dewan Rakyat minggu terakhir.

Isu jawatan itu tercetus setelah Ronald menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum itu, Kiandee dilantik sebagai Pengerusi PAC atas kapasitinya pembangkang dari Barisan Nasional, selari dengan janji manifesto Pakatan Harapan. -MalaysiaGazette