Streram
Calon PH, Dr. S. Streram (tengah) bersalaman dengan sebahagian masyarakat Cina ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2019.

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menafikan telah mengeksploitasikan kanak-kanak pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Calonnya, Dr. S. Streram berkata, beliau ada melihat gambar kanak-kanak yang berkumpul di atas pentas yang berlatarbelakangkan poster ceramah pemimpin PH yang viral dalam media sosial.

“Sebenarnya itu satu pertandingan melukis yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di sana.

“Mereka mungkin menyampaikan hadiah selepas pertandingan itu kepada kanak-kanak tersebut dan tidak pakai untuk hal politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bertemu ahli Persatuan Man Nam Kong Soh di Jalan Besar, Rantau hari ini.

Pakar bius itu terus diasak dengan isu sama bahawa ketika penyampaian hadiah terdapat poster pemimpin PH, malah ada yang duduk bersama kanak-kanak di atas trak ceramah yang dilengkapi dengan kemudahan pentas.

Streram berkata, mungkin disebabkan ketiadaan kemudahan pentas telah memaksa penganjur menggunakan trak ceramah PH.

“Untuk saya sebenarnya semuanya terletak kepada pandangan kita terhadap sesebuah senario itu. Ini persepsi sahaja yang sengaja ditular pihak tertentu dan tidak ada kena mengena dengan PH.

“Lagipun ini tidak bermaksud kita eksploitasi kanak-kanak. Mana ada kita salahgunakan kanak-kanak, itu salah faham sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/05/saya-tak-pasti-kempen-guna-kanak-kanak-salah-ke-tak/