Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 105 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Polis akan membuka kertas siasatan yang baharu berhubung kes kehilangan misteri dua individu iaitu Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kehilangan kedua-dua lelaki itu memerlukan masa memandangkan ia turut melibatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Bagaimanapun, siasatan itu hanya akan dilakukan selepas Ketua Polis Negara yang bahru mengambil tempat yang akan ditinggalkan oleh Mohamad Fuzi Harun.

“Kita akan buka kertas siasatan yang baru, tapi kena tunggulah sebab dakwaan kehilangan paksa itu dituju kepada Ketua Polis Negara.

“Kita tunggu pelantikan baru dan kemudian kita akan tubuhkan kumpulan untuk mengkaji adakah terdapat bukti di sebalik tuduhan yang dibuat Suhakam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Dr Mahathir menambah, siasatan baru itu dibuat berdasarkan penemuan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Raymond dan Amri.

Terdahulu, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Suhakam dan mahu suruhanjaya itu melakukan siasatan secara profesional.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Suhakam perlu mengemukakan bukti mengenai dakwaan kehilangan Raymond dan Amri.

Amri adalah pengasas Persatuan Kebajikan Perlis Hope yang dilaporkan hilang sejak 24 November 2016.

Isterinya, Norhayati Mohd. Ariffin sebelum ini berkata, saksi ternampak lima kenderaan menghalang perjalanan kenderaan Toyota Fortuner milik Amri sebelum suaminya dibawa pergi dan tidak ditemui selepas itu.

Seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd. Daud pula mendakwa, pada malam 12 Mei 2018, Cawangan Khas di Kuala Lumpur yang melakukan penculikan berkenaan.

Manakala, Koh pula diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017 semasa beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya.

Banyak pihak mendakwa penculikan Koh berkemungkinan ada kaitan dengan dakwaannya cuba menyebarkan agama Kristian walaupun keluarganya menolak dakwaan itu.

Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

Seorang lelaki berusia 31 tahun didakwa pada Januari 2018 di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan Koh. – MalaysiaGazette