Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) berbual mesra dengan masyarakat cina yang membuat pemeriksaan kesihatan ditemani Ahli Parlimen Rembai, Khairy Jamaluddin (tengah) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Tokong Guan Yin Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 05 APRIL 2019

RANTAU – Niat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen mendapat perhatian Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, sekiranya Mohamad ingin memilih kerusi milik beliau di Rembau, kedua-dua pihak harus mengadakan perbincangan empat mata.

“Boleh, tapi kita kena bincang dulu,” katanya selepas menemani Mohamad pada program khidmat masyarakat di Tokong Guan Yin di Kuala Sawah, Rantau, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Ketua Cawangannya itu perlu fokus terlebih dahulu untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, sebelum membuat apa-apa keputusan mengenai hala tujunya pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Kita menangkan Rantau dulu dan fokus untuk menangkan beliau dulu,” ulas bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Khairy diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamad pada malam Rabu lalu memberikan bayangan akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15.

“Rasa-rasanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 saya tidak akan bertanding di Rantau kerana akan bertanding di kerusi Parlimen.

“Tapi boleh jadi juga saya akan tetap bertanding di Rantau dan juga kerusi Parlimen,” katanya dalam program ceramah di Kampung Sendayan pada Rabu.

Dalam pada itu, Khairy berkata BN harus menggembleng tenaga bagi meraih undi bukan Melayu.

Ujarnya lagi, BN tidak seharusnya hanya mendapat undi orang Melayu kerana undi golongan bukan Melayu juga penting dalam memastikan Mohamad menang di DUN Rantau.

Kita tidak mahu sokongan kepada Tok Mad hanya datang daripada satu kaum sahaja.

“Kita mahu dapat kemenangan daripada semua dan tidak mahu dilihat hanya mendapat sokongan pengundi Melayu semata-mata.

“Kita mesti cuba sedaya upaya untuk dapat sokongan kaum bukan Melayu juga.

“Tok Mad banyak berjasa kepada pengundi Cina dan India, jadi tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan kepada Tok Mad,” katanya. -MalaysiaGazette