Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu mengambil tindakan bagi memastikan tidak berlaku pertembungan dengan Pas dala PRU-15.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakui pertandingan tiga penjuru bakal merugikan BN dan mahu gabungan parti itu menggunakan format politik baharu.

“Pertandingan tiga penjuru memang merugikan BN sebab itu realiti sekarang kita kena buat sesuatu formula politik yang baru ini saya tidak mahu buat (terangkan) secara openly (terbuka)  tidak menguntungkan kita.

“Mesti ada format baharu untuk BN menang selesa PRU akan datang,” ujarnya pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di PWTC hari ini.

Dalam pada itu, perkara yang sama turut dibangkitkan oleh bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong.

Menurut beliau, pengalamannya pada PRU-14 di mana Pas turut bertanding selain BN bagi melawan Pakatan Harapan (PH) akhirnya memberi kemenangan PH.

“Saya ambil iktibar PRU-14, BN tidak kalah hanya kehilangan kuasa kerana undi popular PH. Perpecahan undi Pas buat BN hilang 29 Parlimen di Malaysia ini sebab utama.

“Ini perkara benar yang berlaku oleh itu saya berharap pucuk pimpinan mesti ambil satu keputusan kerana tidak ada kompromi kerjasama antara Pas pada PRU-15 tidak mungkin BN ambil kuasa balik.

“Oleh itu mesti ambil satu keputusan yang tegas termasuk parti komponen BN,” katanya pada program yang sama.-MalaysiaGazette