KUALA LUMPUR- Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, 45, akan melangsungkan perkahwinannya dengan Sofie Louise Johansson di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 19 April ini.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Istiadat Pejabat Istana Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Tambahnya, Sofie, 33 yang merupakan seorang warganegara Sweeden adalah kenalan lama baginda.

“Sukacita saya dengan hormatnya menjunjung titah perintah Yang Teramat Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan akan melangungkan perkahwinan pada Jumaat, 13 Syaaban 1440H bersamaan 19 April 2019, ” katanya dalam satu sesi sidang media di Istana Balai Besar, Kota Bharu hari ini.

Menurut Tengku Mohamed Faziharudean, istiadat perkahwinan diraja itu akan diadakan secara tertutup dan sederhana di Istana Balai Besar dengan dihadiri ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat sahaja.

Majlis akad nikah akan diadakan pada hari Jumaat selepas solat Isyak sebelum disusuli dengan istiadat perkahwinan.

Menurut beliau, Tengku Mahkota telah menitahkan supaya cenderamata sempena adat perkahwinan baginda disumbangkan kepada badan kebajikan di Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), Rumah Anak-Anak Yatim dan Orang Tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah

“Baginda berharap agar sekalian rakyat dapat mendoakan perkahwinan baginda kelak akan dipermudahkan dan dirahmati Allah sehingga jannah,” katanya lagi.- MalaysiaGazette