Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Calon BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Sri Lalang, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2019

SEREMBAN – Kempen Barisan Nasional (BN) yang menampilkan calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan disulami dengan situasi mencuit hati.

Sebaik majlis mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sri Lalang bermula, pengacara yang ingin memperkenalkan Khairy Jamaluddin telah tersilap kerusi yang disandang oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu.

“Dipersilakan saudara Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Tampin memberikan sepatah dua kata,” kata pengacara majlis.

Sebaik menerima mikrofon, Khairy pantas membuat komen berseloroh.

“Tau lah Tok mad nak tanding Rembau, tapi awal sangat tu,” katanya di hadapan Mohamad Hasan yang jelas tersenyum bersahaja.

Kata-kata Khairy itu disambut dengan gelak tawa dan tepukan gemuruh kira-kira 500 penyokong BN dan pengundi Rantau.

Minggu lalu, Mohamad secara tiba-tiba membuat kenyataan bahawa beliau menaruh harapan untuk bertanding di kerusi Parlimen, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Rasa-rasanya PRU-15 saya tidak akan lagi bertanding di Rantau, saya akan bertanding di Parlimen pulak kan.

“Tapi bertanding di Rantau, Parlimen pun bertanding juga kan, takkan sudah dapat ‘girlfriend’ baharu, orang tua kita tinggalkan,” katanya sewaktu berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan, minggu lalu.

Susulan kenyataan itu, Khairy bersedia untuk mengadakan perbincangan empat mata sekiranya Mohamad tetap mahu bertanding kerusi Parlimen.

“Boleh, tapi kita kena bincang dulu,” balas Khairy. -MalaysiaGazette