Antonio Conte. Foto Agensi

LONDON – Spekulasi kepulangan Jose Mourinho ke Inter Milan semakin hampir apabila bekas pengurus Manchester United itu disebut bakal menggantikan Luciano Spalletti sebagai pengurus pasukan.

Namun laporan The Sun mendedahkan Inter lebih cenderung untuk memilih bekas pengendali Chelsea iaitu Antonio Conte berbanding Mourinho.

Beberapa minggu lalu, terdapat laporan mendakwa Mourinho telah menghubungi pihak pengurusan Inter untuk menjelaskan keinginannya menyertai kelab tersebut.

Pengendali dari Portugal itu memiliki koleksi cemerlang dalam sejarah kelab Inter apabila berjaya meraih tiga gelaran semusim buat kali pertama.

Conte pula yang merupakan anak jati kelahiran Itali mempunyai kelebihan mengenali budaya bola sepak tempatan.

Dia pernah menjadi pengurus beberapa kelab Itali seperti Juventus, Siena dan Atalanta termasuk mengemudi skuad kebangsaan Itali pada 2014 sebelum mengambil alih tugas mengendali Chelsea.

Sementara itu, Spalletti berdepan tekanan cukup besar pada ketika ini kerana berdepan dengan pelbagai masalah dalam dan luar padang sehingga menyebabkan kedudukannya bersama Inter kini dalam bahaya.

Ia bermula apabila berlaku perselisihan diantara Spalletti dengan para pemain.

Pengurus berusia 60 tahun itu mengecam persembahan pemainnya kerana tampil kurang memuaskan dalam misi memburu kejuaraan liga musim 2018/19.

Situasi bertambah rumit apabila Inter turut tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah, Disember lalu.

Nerazzurri kini tiada pilihan lain apabila berjuang mati-matian untuk menembusi kelompok empat pasukan terbaik Serie A untuk kembali memperolehi slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. – MalaysiaGazette