Shamsul Iskandar Md Akin
Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membidas calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataannya supaya pengundi di kawasan berkenaan mengenang budi beliau semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan, Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama menyifatkan, Mohamad telah menunjukkan siakpnya yang tidak ikhlas apabila mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Katanya, tuntutan Mohamad juga dianggap sebagai terdesak, angkuh malahan, memalukan dirinya sendiri memandangkan adat Melayu tidak sekali-kali mengajar bangsanya supaya mengenang perkara baik yang telah dilakukan.

“Perbuatan Mohamad Hasan ini saling tak tumpah seperti apa yang telah dilakukan oleh mantan ketuanya iaitu bekas Presiden UMNO Najib Razak yang meminta pengundi agar “you help me, I help you” pada pilihan raya umum yang lalu.

“PKR menyifatkan tuntutan “mengenang budi” ini terpaksa beliau lakukan setelah beliau terlanjur bahasa dengan berkasar bahawa bukan Melayu hanyalah “penumpang” di negara ini ketika memberi ucapan dihadapan kelompok Melayu di PRK Semenyih baru-baru ini.” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurut Shamsul, PKR mendesak agar calon BN itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia serta menarik balik kata-kata tersebut dan seterusnya menyeru agar pengundi Rantau menterjemahkan sendiri sifat dua wajah Mohamad apabila berhadapan dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Katanya lagi, PKR sentiasa berpegang teguh kepada pendapat bahawa sesiapa sahaja yang dilantik untuk memikul tanggungjawab sebagai ADUN haruslah menggalas mandat tersebut dengan penuh amanah, dedikasi dan rendah diri.

Malah, usaha itu bukannya dilakukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi menuntut dikemudian hari agar membalas kembali kerja-kerja serta budi yang telah ditaburkan. – MalaysiaGazette