Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Pembukaan Hospital Rembau di Negeri Sembilan sudah dirancang lebih awal sebelum berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu telah diambil maklum bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min.

“Sebenarnya kita telah rancang itu (pengumuman pembukaan hospital) sebelum PRK Rantau ini.

“Semua rancangan ini telah kita lakukan. Kita akan beri penjelasan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas Majlis pelepasan Berjalan/Larian sempena Kempen Hidup Aktif ‘Big Walk” di sini hari ini.

Menurut Dr. Dzulkefly, beliau sangat faham dan mengetahui sikit sebanyak berkenaan perkembangan semasa yang berlaku di kawasan tersebut.

Ia disebabkan beliau sendiri merupakan anak jati Rantau dan kawasan itu merupakan kampung halamannya.

Malah, beliau juga pernah bertanding merebut kerusi Parlimen di Rembau pada 2004.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly mengumumkan pembukaan hospital Rembau di Negeri Sembilan mulai Jun depan.

Beliau berkata, proses pembinaan hospital tersebut ketika ini sudah mencapai tahap 90 peratus.

MGF07042019_DZULKEFLY BIG WALK87
Dr. Dzulkefly Ahmad mencuba Cabaran Zon Aktif selepas sesi Berjalan dan Larian Kempen Hidup Aktif – Big WALK Peringkat Kebangsaan 2019 bersempena KL Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 APRIL 2019.

Katanya, hospital itu merupakan kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan mempunyai kapasiti sebanyak 76 katil.

Kerajaan sebelum ini, terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM8 juta berikutan kelewatan pembinaan hospital itu yang sepatutnya siap pada September 2016.

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata, beliau akan turun membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr Streram pada malam esok.

Katanya, perkara itu telah dilakukan oleh beliau sejak penamaan calon bagi PRK tersebut minggu lalu.

Jelas beliau, pada sesi ceramahnya dalam kempen berkenaan nanti beliau hanya akan membawa perkara-perkara berkaitan kementeriannya dan tidak akan menyentuh soal-soal berkaitan politik. – MalaysiaGazette