Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Ceramah Pentas Pemuda sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 0 APRIL 2019.

SENDAYAN – Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu yakni Barisan Nasional (BN) dalam segala hal.

Menurut calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, tugas utama PH sekarang adalah buktikan bahawa mereka boleh mentadbir negara dan tidak seharusnya membangkitkan isu sahaja untuk meraih undi rakyat.

“Kau dah kahwin dengan janda, anaknya kau peliharalah sekali. Takkan syok dengan maknya, anak kau nak kena buang.

“Mana boleh macam tu. Anaknya jagalah sama
Kau dah menang kerajaan, hutang selesaikanlah,” katanya dalam siri ceramah Pentas Pemuda di Felda Sri Sendayan, semalam.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Jelas Mohamad lagi, beliau tidak nampak hala tuju kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun kerajaan Negeri Sembilan di bawah Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Hingga hari ini kerajaan persekutuan dan negeri sembilan tiada hala tuju.

“Asyik-asyik cakap BN punya salah, 1MDB, hutang banyak.

“Eh ko sudah menang, buatlah kerja. Takkan kata kamu tak nak buat kerja kerana semua BN punya salah,” katanya di hadapan lebih 500 pengundi Sendayan.

Mohamad berkata PH sering mengaitkan kegagalan pentadbirannya disebabkan oleh BN dibawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -MalaysiaGazette