KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, cadangan pengkorporatan entiti itu masih diperingkat awal penilaian kajian kebolehlaksanaan.

Penilaian yang dijalankan merangkumi aspek pembangunan dan pelaksanaan simulasi keupayaan berdasarkan kepada pelbagai faktor dalaman dan luaran, kesan jangka panjang dan senario bagi memastikan hasil penilaian dan syor yang dilkemukakan kelak akan tratur, telus dan memberi nilai faedah terbaik kepada kerajaan.

JKR dalam satu kenyataan berkata, ia akan memastikan kajian ini memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan terutama kakitangan, pemain industri, rakyat dan negara.

“Melindungi kepentingan warga JKR khususnya dan warga perkhidmatan awam umumnya telah termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan 6/2000 yang menjelaskan sebarang usaha ke arah pengkorporatan hendaklah memastikan syarat perkhidmatan baru secara pakej tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan isu pengkorporatan JKR tular di media sosial.

Jelasnya lagi, sekiranya kajian mendapati faktor utama tidak dapat dipatuhi, cadangan kebolehlaksanaan tidak akan diteruskan.

Tambahnya, kajian ini masih di peringkat awal pengumpulan dan penilaian data, penglibatan warga JKR dalam kajian ini masih lagi minimum.

Namun, salah satu perbatuan utama dalam pelaksanaan kajian ini adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada warga JKR yang akan diadakan melalui kaji selidik dan sesi libat urus untuk memastikan sebarang usaha ke arah pengkorporatan ini memberi keutamaan kepada kebajikan dna masa depan kakitangan JKR. – MalaysiaGazette