Annuar Musa
Annuar Musa

RANTAU – Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Majlis Raja-Raja telah memanggil Peguam Negara, Tommy Thomas, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan empat orang ahli akademik berhubung Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, ia bagi menjelaskan apakah tujuan kerajaan menandatangani dokumen berkenan.

“Kita tahu bukan hanya empat orang ahli akademik itu sahaja yang dirujuk.

“Raja-raja Melayu telah membuat konsultasi atas keinginan mereka sendiri tanpa melibatkan orang politik.

“Mereka bermesyuarat secara tertutup dan jemput Prof Datuk Syad Faruki, Peguam Negara Tommy Thomas, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dan tiga orang penyelidik membuat perbentangan.

“Mereka (ahli-ahli akademik) tidak membuat keputusan bagi pihak Raja-Raja Melayu,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Muafakat Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku, Rantau, semalam.

Turut serta dalam ceramah itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Annuar berkata, dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan juga tidak benar.

“Bukan Raja-Raja Melayu yang menghasut rakyat, kerajaan Pakatan Harapan yang cuba menghasut rakyat.

“Dalam soal ini saya yakin 101 peratus. Sebab apabila mereka keluar mesyuarat, Raja-Raja Melayu berbincang sesama mereka sahaja.

“Raja-raja Melayu rasa kebertanggungjawaban mereka untuk menyampaikan keputusan mereka kepada Perdana MenteriĀ  dengan cara yang cukup beradat.

“Tidak pergi kepada umum dan beritahu kepada ahli politik,” jelas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Lantaran itu, tuduhan tersebut adalah sangat tidak adil kepada Majlis Raja-raja.

“(Beberapa) Menteri yang telah cuba politikkan perkara ini termasuk dengan menyatakan penarikan balik perkara itu kerana bimbang berlaku rampasan kuasa,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurutnya, ia berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut Rom itu membahayakan negara.

Pada 4 Mac lalu, Malaysia menandatangani surat cara untuk menerima Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu pada tarikh berkenaan.

Annur turut mendesak agar menteri-menteri yang mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan rampasan kuasa disiasat.

“Saya cadangkan menteri berkenaan mesti disiasat, sebab itu satu tuduhan.

“Kabinet mesti substantiate (menyediakan bukti untuk sokongan). Menteri tidak boleh cakap ikut suka hati, sebab dia Menteri.

“Orang macam saya boleh bercakap tapi itu pun tidak wajar,” katanya lagi.

ICC ditubuhkan pada tahun 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom yang berfungsi sebagai pelengkap undang-undang sedia ada di negara pihak bagi mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti terkandung dalam Artikel 5 statut berkenaan, iaitu pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.

Sebanyak 124 negara menjadi negara pihak kepada Statut Rom.

Sehingga 4 Mac lalu, termasuk negara beraja seperti Jepun, United Kingdom dan Jordan telah meratifikasi statut berkenaan. -MalaysiaGazette