KUALA LUMPUR – Hanya kerana berbeza pendapat serta tidak sehaluan dengan kerajaan tidak bermakna pihak berkenaan perlu diambil tindakan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merujuk kepada empat ahli akademik yang terlibat dengan rumusan eksekutif perjanjian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini.

Malah Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, walaupun dirinya tidak bersetuju dan menyokong rumusan eksekutif itu namun pada masa yang sama tidak berpendapat mereka tidak seharusnya dikenakan tindakan.

Sebaliknya pendapat mereka perlu ‘diraikan’ di bawah Malaysia Baharu, katanya.

“Sambil kita berbeza pendapat, jangan kita terus menghukum dengan mengambil tindakan ke atas mereka hanya kerana tidak sependapat.

“Saya bagi contoh Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) ada pihak kata keluarkan dia, itu tidak masuk akal kerana gerak kerjanya di institusi itu sangat baik dan saya tidak bersetuju.

“Rahmat telah dilantik memegang jawatan tersebut pada hujung tahun lalu sedang membersihkan ISN selain melebarkan rangkaian institusi itu di universiti seluruh negara.

“Janganlah hanya kerana kita berbeza pendapat dalam isu tertentu, kita dengan cepat mahu menghukum. Tidak betul. Saya akan pertahankan haknya walaupun tak setuju dengan pandangan beliau itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika mengulas berhubung ‘nasib’ empat ahli akademik yang menjalankan rumusan eksekutif berhubung perjanjian ICC.

Malah ada kenyataan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang kedudukan keempat-empat ahli akademik itu akan dibincangkan namun kemudiannya ‘ditarik’ balik dengan alasan media salah melaporkannya.

Sebelum ini, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom sambil mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui.

Beliau bersama lapan rakannya mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan itu dilakukan oleh Rahmat yang juga Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Selain itu, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut. – MalaysiaGazette