Bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam bersalaman dengan sebahagian penduduk India yang hadir pada Ceramah Umum Barisan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Saga, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Kesilapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU-14 menjadi punca Datuk Seri Mohamad Hasan terpaksa berdepan ujian getir untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kali ini.

Bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, sekiranya SPR membenarkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S.Streram memasuki dewan untuk mengemukakan kertas pencalonan sudah pasti Mohamad dengan mudah menang kerusi itu pada PRU-14.

“Ini semua berpunca akibat kesilapan SPR..jika dia biarkan calon lawan bertanding, sudah pasti Tok Mad menang mudah dan kekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita sebagai penyokong setia BN perlu ingat bahawa Tok Mad bukan pemimpin yang mudah kalah atau senang untuk ditewaskan lawan.

“Itu punca hari ini beliau diheret sehingga ke PRK hari ini setelah dibatalkan kemenangan sebagai tidak sah,” kata bekas menteri kabinet itu di Siliau malam ini.

Setelah berundur sebagai Presiden MIC selepas kalah pada PRU-14 di kerusi Parlimen Segamat, ini kali pertama Subramaniam muncul semula.

Beliau terpanggil berkempen di Rantau bagi bertemu pengundi dalam kalangan masyarakat India yang masih setia dengan BN.

“Saya berdiri di sini di hadapan anda setelah sekian lama semata-mata untuk Tok Mad kerana mahu anda semua mengimbas semula segala sumbangannya.

“Anda lebih kenali Tok Mad kerana beliau banyak memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk tanah dan kewangan.

“Apabila hari ini beliau berada di saat ujian getir, adalah menjadi komitmen anda sebagai pengundi untuk bersatu memenangkan beliau.

“Sumbangan anda kali ini tidak banyak cuma hulurkan setiap satu undi anda kepada beliau,” ujarnya. – MalaysiaGazette