Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘berjanji’ kerajaanya akan melaksanakan lebih banyak perubahan perundangan untuk memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak dikembalikan.

Kata Tun Mahathir, perubahan-perubahan itu akan dilakukan seandainya Perkara 1(2) Perlembagaan berjaya dipinda pada masa kini.

“Ini merupakan langkah pertama untuk merealisasikan hasrat semua rakyat Malaysia. Malah ingin saya katakan, pindaan ini tidak akan menjejaskan rundingan yang sedang dijalankan antara kerajaan persekutuan dengan Sabah dan Sarawak dalam Jawatankuasa Khas.

“Malaysia akan menjadi satu entiti dan tidak akan memisahkan Malaysia Timur dan Barat,” katanya ketika membentangkan usul pindaan Perkara 1(2) di Dewan Rakyat hari ini.

Ini juga merupakan kali pertama kerajaan Malaysia cuba meminda perlembagaan tanpa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sejak tahun 2008.

Pindaan terakhir dilakukan pada 2007 oleh kerajaan terdahulu (BN) yang mahu melanjutkan had umur persaraan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya kepada 66 tahun.

Wakil rakyat Pakatan Harapan pada masa ini mempunyai 129 orang dengan PKR sebanyak 50 wakil, DAP 42, Bersatu seramai 26 wakil serta 11 Ahli Parlimen dari parti Amanah.

Parti-parti lain seperti Warisan sebanyak 9 orang dan UPKO seorang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 139 wakil, namun masih memerlukan sembilan lagi wakil untuk meminda perlembagaan tersebut.

Tambah Mahathir, kerajaan akan meminda RUU itu di peringkat jawatankuasa untuk menyelaraskannya dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pindaan terbaru itu akan mengembalikan perkataan negeri-negeri Malaya serta negeri Borneo dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Pentadbiran lama sebelum ini sebenarnya telah gagal mengemukakan pindaan yang diperlukan untuk Perlembagaan Persekutuan di Parlimen,” teganya.

Tahun lalu, Mahathir ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu berkata, kerajaan menerusi slogan ‘Malaysia Baharu’ akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum penukaran status Sabah dan Sarawak, daripada rakan sekutu kepada negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalikan status itu selepas sebahagian proses akan dilaksanakan selepas kajian MA63 disiapkan.

Kata Mahathir, pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Dewan Rakyat dijangka membuat undian bagi perubahan itu lewat petang ini. – MalaysiaGazette