Ahmad Jamaludin
Jurucakap Media dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban Deputi Superintendan, Ahmad Jamaludin bercakap kepada media sewaktu memantau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Balai Polis Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2019.

SEREMBAN – Tiada tangkapan dibuat polis setakat ini dalam kes melibatkan kain rentang berbaur provokasi tentang calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Polis hanya menerima satu laporan polis dan tiga laporan daripada pihak lain yang menafikan penglibatan mereka.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan, Ahmad Jamaludin berkata, polis setakat ini hanya mengambil keterangan daripada saksi-saksi berkaitan kejadian tersebut.

“Memang kita ada terima laporan polis tersebut dan kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1956.

“Tetapi tiada sebarang tangkapan yang dibuat di dalam kes tersebut,” katanya kepada pemberita ketika memantau proses pengundian awal melibatkan 36 anggota polis di Balai Polis Rantau yang bermula 8 pagi tadi.

Dalam kejadian pada 6 April lalu, kain rentang yang dimuatkan gambar Dr Streram dengan perkataan jangan mengundi keling dalam bahasa Minangkabau digantung di tiga lokasi berbeza di Rantau.

Tambah Ahmad, kini pihaknya proses mengumpul maklumat dan telah memanggil beberapa saksi untuk memberikan keterangan. – MalaysiaGazette