Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaya di Auditorium, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan disifatkan sebagai seorang yang bersikap defensif apabila enggan menjawab permintaan lawannya, Dr S. Streram.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, calon Barisan Nasional (BN) itu tidak perlu untuk mengelak daripada menjawab soalan yang dibangkitkan oleh calon Pakatan Harapan (PH) berhubung gambar sebuah banglo yang dikaitkan dengannya.

Malah katanya, Mohamad perlu memberikan penjelasan secara jujur mengenai perkara itu memandangan beliau sendiri pernah berkata tidak memiliki rumah selepas keluar dari rumah rasmi menteri besar ketika BN kalah PRU-14.

“Pada saya kalau kita tiada apa yang kita nak sembunyikan kita bagitahu secara terbukalah.

“Isunya adalah Datuk Seri Mohamad Hasan kata dia selepas kalah dia keluar dari rumah rasmi menteri besar dan dia tiada rumah.

“Itu keadaan dia tapi itu mengundang netizen untuk tunjukkan bahawa bukti-bukti sebaliknya dan itu menjadikan Datuk Seri Mohamad Hasan defensif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Food Bank Siswa, di Universiti Malaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sikap Mohamad yang enggan melayan permintaan Streram berhubung sebuah banglo di Seremban 2 yang didakwa milik Mohamad.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Mohamad sepatutnya mengambil sikap sepertinya apabila berkata benar ketika beliau pernah dituduh memiliki banglo di London.

“Macam saya ada dikata memiliki banglo di London, saya kata tidak saya tak miliki sebarang banglo di London.

“Saya cuma ada satu rumah di Machang, Kelantan. Saya boleh sebut dengan terang sebab saya tiada apa nak sembunyikan,” ujarnya.

Sehubungan itu Saifuddin, tidak timbul isu ‘bodoh’ kepada apa yang dibangkitkan oleh calon PH itu kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkenaan.

Semalam, Mohamad berkata beliau enggan melayan tuduhan Streram yang disifatkan sebagai ‘budak bodoh’ apabila melemparkan serangan terhadap dirinya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Streram menggesa Mohamad supaya menjelaskan mengenai sebuah rumah Minangkabau yang di dakwa miliknya bernilai RM6 juta.

Malah, Mohamad turut menggesa calon PH itu menyemak sama ada beliau ada memiliki banglo atau tidak .

Terdahulu, Streram yang juga Timbalan Pengerusi PKR Cabang Rembau meminta penjelasan Mohamad berhubung banglo berkenaan yang dikatakan memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/09/tok-mad-enggan-layan-cerita-budak-bodoh/